Rabu, Februari 17, 2010

Akal yang cerdas di dalam tubuh badan yang sihat

Memandangkan umur pun dah semakin meningkat, futsal adalah sukan yang dikira sesuai untuk tubuh ini. Tak perlu terlalu mengejar bola tapi masih mampu mengeluarkan peluh yang banyak.

Inilah ativiti setiap minggu Abyhakimi. Setiap petang Khamis, Abyhakimi bersama tiem Gaya Teacher FC akan turun bermain di gelanggang futsal Jeselton Point KK. Bagi mana2 tiem yang teringin merasai nikmat mengutip bola di gawang mereka sendiri, boleh call Abyhakimi. (gurau je)

Bersukan adalah sunnah nabi... Rasulullah SAW pernah berlumba lari dengan isterinya Saiyidatina Aisyah. Kadangkala baginda menang dan kadangkala baginda diatasi oleh Aisyah. Nabi juga diriwayatkan pernah memberi semangat pada kedua-dua cucunya Hasan dan Husin yang bergaduh untuk melatih mereka bersifat kuat.

Aktiviti sukan ni banyak manfaatnya. Terutama sekali untuk kesihatan, disamping itu boleh mengelakkan boroi..... So, para isteri janganlah melarang jika suami anda turun bersukan. Berilah sokongan kerana kesihatan yang baik dapat menjamin kebahagiaan sepanjang hayat....

Wallahua'lam...

Isnin, Februari 15, 2010

Berkelah bersama keluarga

Dalam kemeriahan kaum cina menyambut Gong Xi Fa cai, sempat juga Abyhakimi membawa family berkelah dan mandi manda di Sungai Kibunut berdekatan dengan Penampang. Bukannya apa, jiran-jiran Abyhakimi kebanyakannya travel ke kundasang Gunung Kinabalu. So, kesian juga anak2 kalau terperap je kat rumah.

Lagipun dah lama tak mandi sungai. Kat kk ni susah nak cari sungai, pantai ada la.... Dalam cuaca yang tengah panas ni rasa tak sesuai pulak kalau berkelah kat pantai. Terbakar kulit nanti... Sungai Kibunut adalah pilihan yang cukup sesuai.

Perjalanan mengambil masa sekitar 30 minit je. Kami sampai lebih kurang jam 9 pg. Dah banyak kereta yang memenuhi parking lot. Fuh... ingatkan kita yang paling awal. Susah la sikit nak cari port yang selesa sebab orang lain dah ambik dulu.

Deruan air sungai yang kedengaran sudah cukup mendamaikan buat seketika. Hilang rasa kepenatan memandu melalui jalan yang bengkang benkok dan berbukit tadi. Kegirangan jelas terpancar di wajah anak2. Tak sabar nak terjun ke sungai dan bermandi manda. Merasai sendiri kesejukan air yang mengalir dari Banjaran Croker yang belum terusik dek pembangunan. Fuh.... nyaman sekali.

Alhamdulillah kami bersyukur kepadaMu Ya Allah memberikan kami kesempatan untuk menghirup nikmatMu.....

Sabtu, Februari 13, 2010

Cuti.. Oh.. Cuti..

Hari ini bermulalah cuti sempena Tahun Baru cina. Walaupun kaum cina yang merayakan perayaan ini kaum lain pun terkena la jugak tempias cuti ni. One Malaysia la katakan..... Maybe Abyhakimi lebih beruntung sebab sekolah Abyhakimi mengajar cuti seminggu. Ini kerana bilangan murid berbangsa cina lebih kurang 30%. So, memang patut la cuti sampai seminggu. Lagipun dah ganti awal lagi. Jelous la ummi hakimi sebab sekolah dia cuti sampai rabu je.....

Kepada kawan-kawan berbangsa cina terutamanya cikgu Shim, Cikgu Sik & 5 orang guru praktikum subjek BCK, Abyhakimi ucapkan Gong Xi Fa Cai dan selamat maju jaya & berhati-hati di jalan raya balik kampung tu... Buat us Idris, walaupun tak sambut Gong xi fa cai, selamat pulang ke kampung menemui isteri tercinta. Laksanakan tanggungjawab yang belum selesai.....

Dalam cuti seminggu ni harap-harap boleh la Abyhakimi siapkan mana-mana tugas yang belum selesai. Yang pertama sekali mesti siapkan teks cerita untuk peserta bercerita MTQ. Lepas cuti boleh suruh hafal terus. Pening jugak nak buat teks cerita ni nak bagi menarik....

Yang kedua kena fikir jugak aktiviti sambutan Maulidurrasul anjuran Surau flet persekutuan Likas. Berdasarkan kertas kerja yang dibuat oleh En. Ismail, SU jawatankuasa surau, Abyhakimi kena sediakan bahan untuk aktiviti mewarna dan juga dapatkan pamplet kecil panduan wuduk & solat. InsyaAllah akan diusahakan dalam masa cuti ini. Bagi aktiviti lain akan dibincangkan semula malam Jumaat nanti.

Dalam masa yang sama kena fikir jugak aktiviti untuk sambutan Maulidurrasul peringkat sekolah. Tengok dalam takwim panitia, rupanya Abyhakimi yang jadi penyelaras program bersama ust. Maheran dan ust. Hadijah. InsyaAllah dengan bantuan ustaz2 j-Qaf yang hebat2 ni, Abyhakimi yakin program ni dapat berjalan dengan lancar...

Cuti kali ni Abyhakimi tak travel ke mana2. Sebabnya bulan depan Abyhakimi & family nak travel ke Kuching S'wak 5 hari. So, kena save bajet la kali ni.....

Selasa, Februari 09, 2010

BUDAYA KEBERSIHAN DALAM KEHIDUPAN

MENJAGA kebersihan adalah amalan terpenting dalam kehidupan seharian kerana kebersihan tonggak kehidupan yang selesa dan harmoni selain menjadi manifestasi keteguhan iman seseorang kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Kebersihan itu sebahagian daripada iman."

Islam menganjurkan umatnya sentiasa mengamalkan kebersihan mencakupi kebersihan diri, keluarga, tempat tinggal dan tempat beribadat kerana suasana bersih dan suci membawa kepada persekitaran sihat, selamat dan impak kesejahteraan kepada umum.

Dalam konteks kebersihan diri, bukan hanya setakat kebersihan luaran, tetapi merangkumi kebersihan hati nurani daripada kekufuran dan segala perkara yang boleh membawa kepada bahaya dan dosa termasuk perbuatan mensyirikkan Allah.

Sebagai hamba Allah, kita hendaklah mengabdikan diri kepadaNya dengan mengerjakan segala perkara selagi tidak bercanggah dan mendatangkan kemudaratan. Allah menyukai hamba-Nya yang sentiasa menyucikan diri.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri." (Surah Al-Baqarah, ayat 222)

Membudayakan amalan kebersihan, bermakna kita sentiasa mengambil berat aspek kebersihan dan memberi keutamaan kepada penjagaan kebersihan.

Mengabaikan kebersihan bermakna kita dengan sengaja mengundang pelbagai penyakit seperti kolera, cirit-birit, denggi dan keracunan makanan.

Untuk melahirkan persekitaran hidup yang bersih dan sentiasa kelihatan menarik, perkara berikut perlulah kita hayati bersama:

  • Kita hendaklah mempertingkatkan kesedaran terhadap kebersihan diri, tempat tinggal, tempat beribadat, tempat kerja dan seluruh tempat awam sebagai cermin kemurnian ajaran Islam yang mengutamakan kebersihan dalam semua bidang kehidupan.
  • Setiap individu daripada semua kalangan sama-sama memikul tanggungjawab dan menanam sikap suka kepada kebersihan secara berterusan dengan melaksanakan amalan ini setiap masa bagi menghindari berlakunya kekotoran di merata tempat.
  • Kita sama-sama mendisiplinkan diri bagi menjaga imej Islam yang mementingkan kebersihan dengan melahirkan persekitaran yang sejahtera dan selesa.
  • Mempertingkatkan amalan tegur-menegur dan nasihat-menasihati sesama kita dalam hal menjaga kebersihan. Dengan demikian, ia akan melahirkan perasaan cinta kepada kebersihan dan benci kepada kekotoran, di samping memastikan tidak merebak penyakit berjangkit.

Kebersihan itu melambangkan keteguhan iman seseorang kepada Allah. Suatu amalan lain yang pada masa sama akan berlaku ketika sama-sama menjaga kebersihan di persekitaran ialah semangat gotong-royong yang menjadi lambang kesepakatan.

Usah mengharapkan pihak berkuasa tempatan atau pihak tertentu melakukannya kerana sebagai pengguna dan warganegara yang baik kita juga perlu memainkan peranan membudayakan kebersihan dalam kehidupan.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu tolong menolong melakukan kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu tolong menolong pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan." (Surah Al-Maa’idah, ayat 2)

Langkah kerajaan menganjurkan kempen kebersihan turut memberi ruang kepada semua pihak membantu kebersihan dan keselesaan di persekitaran hidup kita.

Amat rugi jika kita tidak menggunakan kesempatan ini untuk sama berbakti di samping mengharapkan ganjaran pahala yang besar daripada Allah SWT.